Nuffnang Adv

Friday, 18 August 2017

Jalan-jalan > Brunei: Sungai Tujuh Check Point ke Kuala Lurah Check Point.


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Untuk menggunakan jalan darat dari Sarawak ke Sabah, kita perlu merentasi Negara Brunei Darussalam sebanyak 2 kali iaitu (dari Miri) kita akan melalui daerah Belait, Tutong, Brunei-Muara, kemudian kita masuk ke Limbang (Malaysia), akhir sekali kita masuk ke daerah Temburong, sebahagian lagi Negara Brunei sebelum masuk ke Lawas (Sarawak) dan Sindumin (Sabah). Keseluruhannya ada 10 Pos Kawalan Imigresen dan Kastam untuk dilalui.

Panduan ini saya sediakan khas bagi mereka yang baru pertama kali, atau dah banyak kali tetapi masih was-was untuk merentasi Brunei Darussalam dari Sungai Tujoh ke Kuala Lurah dan sebaliknya. Kalau ada GPS atau peta di tangan, mungkin tiada masalah.


Sungai Tujoh ke Kuala Lurah
Photo Credit: Google Maps

Quick check  list:

1. Passport Antarabangsa.
2. Salinan "Green Card" dan Insurans, nak isi borong kastam nanti.
3. Tiada barang larangan dalam kereta, motor.
4. Duit untuk bayar tol. Matawang Singapura diterima dengan kadar yang sama, matawang Malaysia diterima dengan kadar RM 3 = BND 1.

Secara asasnya, kereta tinted tak boleh digunakan di Brunei. Tapi Polis Brunei baik-baik, nasiblah kalau kena saman.

Ok, back to the road, memang diakui, laluan agak mengelirukan bagi mereka yang tak biasa terutama ketika memasuki kawasan Jalan Tanjung Maya, Jalan Lamunin, Jalan Batang Mitus, Jalan Wasan dan Jalan Kuala Lurah.

Jarak keseluruhan perjalanan dari Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh* ke Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah* atau sebaliknya cuma sejauh 115 km (113 km via Google Maps).

Nama penuh bagi pos-pos kawalan imigresen ini adalah Kompleks Pemeriksaan Imigresen dan Kastam Brunei. Kita guna singkatan saja.

Andaikan anda bertolak dari Miri dan menuju ke Kota Kinabalu. Panduan ini merangkumi 115 km (balik 112 km) dari jarak keseluruhan 442 dari Miri ke Kota Kinabalu.

Anda telah bertolak dari Miri, melepasi sempadan Malaysia - Brunei melalui Kompleks Imigresen dan Kastam Malaysia, Sungai Tujuh dan terus menuju ke Kompleks Pemeriksaan Imigresen dan Kastam Brunei atau untuk panduan ini kita panggil Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh.

Pesanan saya, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Pandai-pandailah jaga diri di negeri orang. Brunei Darussalam adalah negara bebas rokok, so jangan nak pandai-pandai berhenti tepi jalan hisap rokok pulak. Kena saman sendiri tanggung!

Sila set Trip Meter ke 0 km sebelum bertolak dari Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh.

1. km 0.00: Mula dari Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Brunei.

Jalan terus sejauh 17.2 km (16 minit). Selepas Jambatan Rasau ada Pondok Tol. Bersedia untuk berhenti.


Sungai Tujoh ke Tol Jambatan Rasau
Photo Credit: Google Maps

2. km 17.2, 16 minit: Bayar tol, teruskan perjalanan.

Kadar tol Motosikal BND 1 atau RM 3 dan kereta BND 3 atau RM 10. Matawang Singapura diterima dengan nilai yang sama.

Jalan terus sejauh 58.6 km (45 minit) melalui Rasau Bypass, Seria Bypass dan Lebuhraya Tutong - Telisai. Bersedia untuk U-turn selepas 58 km perjalanan.

Tol Rasau ke U-turn Lebuhraya Tutong - Telisai
Photo Credit: Google Maps



3. km 75.8, 45 minit: U-turn.

Selepas U-turn, jalan lagi sejauh 1.5 km (1 minit), bersedia untuk belok ke kiri.

4. km 77.3: Belok kiri ke Jalan Tanjung Maya.

Jalan terus sejauh 13.6 km (12 minit), bersedia untuk belok ke kiri.

5. km 90.9: Belok kiri ke Jalan Lamunin.

Jalan terus sejauh 8.8 km (9 minit), bersedia untuk belok ke kanan di simpang 3 selepas Kilang Papan Batang Mitus Sdn Bhd.

6. km 97.9: Belok kanan ke Jalan Kecil Batang Mitus.

Jalan Kecil Batang Mitus ini terus bersambung dengan Jalan Batang Mitus. Jalan terus sejauh 5.6 km (8 minit), bersedia untuk belok ke kiri di simpang 3.

7. km 105.3: Belok kiri ke Jalan Wasan.

Jalan terus sejauh 5.5 km (8 minit), bersedia untuk belok ke kanan di bulatan.

8. km 110.8: Belok kanan di bulatan, jalan menghala ke Kg Limau Manis.

Jalan terus sejauh 0.9 km, bersedia untuk belok ke kanan di bulatan selepas Stesyen Minyak Shell.

Kereta atau motosikal Malaysia boleh mengisi minyak di Stesyen Minyak Shell yang terdapat di sini, tetapi pastikan kita gunakan pam RON97 saja dan membayar harga minyak tanpa subsidi Kerajaan Brunei.

9. km 111.7: Belok kanan ke Jalan Kuala Lurah.

Jalan terus sejauh 3.3 km hingga sampai ke Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah.


Lebuhraya Tutong - Telisai ke Kuala Lurah
Photo Credit: Google Maps

10. km 115.0: Sampai ke Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah, Brunei.

Jarak dari Pos Imigresen Sungai Tujoh ke Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah atau Kompleks Pemeriksaan Imigresen dan Kastam Brunei adalah sejauh 115 km, lebih kurang 1 jam 40 minit ke 2 jam tanpa sesat.

Hanya 44.0 km saja lagi untuk sampai ke Bandar Limbang sekiranya hendak mengisi minyak atau bermalam di sana dan 299 km sebelum sampai ke Kota Kinabalu.

Sebagai tambahan, di bawah ini saya sertakan panduan untuk perjalanan balik dari Kuala Lurah ke Sungai Tujoh.

Sila set Trip Meter ke 0 km sebelum bertolak dari Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah.

1. km 0.00: Mula dari Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah, Brunei.

Jalan sejauh 3.3 km.

2. km 3.3: Belok kiri di bulatan pertama.

Jalan sejauh 0.9 km.

3. km 4.2: Belok kiri di bulatan ke 2, masuk ke Jalan Wasan.

Jalan sejauh 5.5 km.

4. km 9.7: Belok kanan ke Jalan Batang Mitus.

Jalan ini bersambung ke Jalan Kecil Batang Mitus. Teruskan perjalanan sampai ke simpang 3, jarak keseluruhan 5.6 km.

5. km 15.3: Belok kiri ke Jalan Lamunin.

Jalan sejauh 8.8 km sehingga jumpa simpang 3.

Nota: Saya pernah tersalah jalan di sini, instead of belok kiri dari Jalan Batang Mitus tadi, saya belok kanan. Saya drive saja santai-santai sampai jumpa lebuhraya, then belok kiri. Mana ada lebuhraya lain lagi.

6. km 24.1: Belok kanan ke Jalan Tanjung Maya.

Jalan terus sejauh 13.6 km sampai jumpa Lebuhraya Tutong - Telisai.

7. km 37.7: Belok kiri ke Lebuhraya Tutong - Telisai.

Masuk lebuhraya ni selalunya big bikers akan pulas full throttle. Kena saman tanggung sendirilah ya!

Jalan terus sejauh 55.6 km sehingga Tol Jambatan Rasau.

8. km 94.8: Bayar tol, teruskan perjalanan.

Kadar tol Motosikal BND 1 atau RM 3 dan kereta BND 3 atau RM 10. Matawang Singapura diterima dengan nilai yang sama.

Jalan terus lagi sejauh 17.2 km sehingga Kompleks Pemeriksaan Imigresen dan Kastam Brunei.

9. km 112.0: Sampai ke Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Brunei.

Selamat kembali ke Malaysia!

Perjalanan balik lebih pendek lebih kurang 3 km sebab tiada U-turn diperlukan di lebuhraya.



2 comments:

  1. Tks for the info bro..mmbantu

    ReplyDelete
  2. tahniah saudara.. info ini sangat2 berguna dan membantu orang spt saya..saya sangat2 menghargai usaha murni saudara..

    ReplyDelete